KLIBF 2010 @ PWTC

Selasa petang aku ke ampang, ber”tapa” selama dua hari. Pagi Jumaat ke Dayabumi menaiki taxi. Sementara tunggu kapal jam 1805 petang , aku pergi  “memancing buku” (meminjam istilah atiqah)  di KLIBF 2010, PWTC, Kali terakhir aku ke KLIBF adalah pada tahun 2006.

Sampai di rumah, anak-anak dan ibu mereka menanti di muka grill. Ini kali pertama tinggalkan mereka lebih sehari, mesti ibu mereka penat keseorangan melayan karenah anak-anak 3 hari ni.

Sanah Helwa ya Al-Faruq

Tiga tahun lepas… 20 Mac 2007 bersamaan 1 Rabi’ul Awwal, jam 7.57 pagi. Seorang bayi lahir  di saksikan abahnya, doktor dan misi.

Tiga hari sebelum kelahiran.. Ibu dan abah kepada bayi tersebut pergi ke Hari Keluarga anjuran majikan si abah bekerja  di Cherating.  Selepas itu terus ke Rumah Cikgu Mad Duan, Aki kepada bayi tersebut.

Dua hari sebelum kelahiran. Si Ibu mengadu sakit pinggang, oh mungkin kerana penat berjalan.

Sehari sebelum kelahiran, balik daripada tugasan harian,  si ibu dan si abah  mengalas perut dengan sedikit makanan, dan berkejar-kejar ke klinik untuk pemeriksaan mingguan, khuatir sekiranya lambat nanti terpaksa menunggu giliran. Cadangnya selepas balik nanti baru makan. Tapi hasrat tak kesampaian, si ibu ditahan.

Hari kelahiran …Sudah tertulis di Luh Mahfuz, tepat jam 7.47, setelah si ibu berhempas pulas dari malam ke pagi ditemani si abah, yang perut kedua-duanya sedang berbunyi, rengekan bayi kedengaran memecah keheningan pagi di al-farabi. Disambut dengan azan & iqamah, beserta tahnik . Allahu akbar!! La’ilahaillallah..khabar berita segera disampaikan oleh si abah kepada aki & tok di pekan, mbah lanang & wedok di hutan melintang, keluarga, dan rakan2..

7 hari selepas kelahiran..berbekalkan buku “nama-nama anak dalam Islam”, si ibu dan abah masih berkira, nama apa nak diberi ? akhirnya, si anak diberi nama Muhammad Umar Al Faruq bin Sidik Al Amini bersempena nama sahabat nabi yang lembut hatinya asalnya keras, dibasahi mukjizat Al-Quran.

3 tahun dah berlalu, dan si anak kini sudah menjadi abang kepada seorang adik yang lahir lahir setahun 6 bulan kemudian..

Kepada Al Faruq

Walau pun kau mungkin tak mampu menjadi seperti Saidina umar al-khattab , atau Abu Bakr As-Siddiq, atau Usman bin Affan atau Ali bin Abu Talib  RadiAllahu ‘anhum..
Cukuplah kau jadikan pekerti Rasulullah S.A.W  & Sahabat2 baginda itu
Sebagai panduan, contoh tauladan, petunjuk jalan untuk kau meniti mengharungi zaman fitnah ini.

Semoga kau jadi anak yang soleh yang akan mendoakan ibu dan abah,
bila kami tiada nanti..

Semoga dirimu sentiasa dekat dengan al-Quran, menjadi panduan hidupmu di dunia, menuju ke akhirat..

Semoga kau menjadi pembela Islam, kembali kepada tempatnya yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya..

Kepada Si Ibu,

Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik 2 zuriat ini, semoga hari-hari mendatang kita bersama hadapi dengan penuh sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang), di dalam hidayah Allah, hingga ke syurga.


Dia ambik duit abah…

Kami baru balik dari perak, suka sangat al faruq dan as sabiq dapat balik kampung perak, rumah embah..

Pagi sabtu, abah kejutkan Al Faruq bangun pagi. Umar, bangun mandi….celik mata, duduk..umar nak pergi mana hari ni?..”nak balik kampung” , kampung kat mana? “kat perak” ..ada siapa kat kampung? “ade embah.. ada kakak”.., seronok balik kampung? “seronok”. entah kakak mana satu yang dimaksudkan, banyak sangat kakak-kakak dan abang-abang kat kampung tu.. bila mereka pun balik kampung.

Siapa nak balik kampung angkat tangan…”yeeee” (jawab muadz sambil mengangkat dua-dua tangan)

Dalam perjalanan yang cuaca yang agak suam-suam kuku (atau berpijar dengan sinar ultraungu sang suria), aliran trafik terganggu di beberapa tempat dek lampu isyarat yang kurang produktif.  Berhenti makan tengah hari masakan ala jawa di sekinchan. bila nampak sawah padi umar cakap “air pantai”, abah cakap tu sawah padi la umar, bukan pantai…, “bukaaan, tu air pantai…”. hmm..nanti cakap lebih2 nangis pulak, baik abah diam daripada berhujah sawah padi vs air pantai.

Muadz pula  bila nampak lori sibuk panggil”ayiii”.. dan masjid.. “ajiiiid” , dan bila bosan mula minta “ngkuu”, “ngkot”, dan tugas ibunya lah untuk berpusing ke belakang dan melayan karenah anak-anak, bila mereka tak tidur.

Semalam pergi ke Felda Sungai Tengi, kenduri menyambut menantu sepupu, anak saudara mak. Jalan sabak bernam- tanjung malim boleh tahan hebatnya, lopak-lopak di jalanan membuatkan kami terlompat-lompat sepanjang jalan. kesian mak & bapak. Nampak sawah lagi, masa kecil aku panggil pokok nasi..

Petang tu, ada lah “kakak-kakak” umar datang, kak ipah balik sungai manila setelah pulang dari kenduri tadi.

Malam tadi sebelum tidur, aku duduk di dapur, mendengar kisah dan nasihat emak. Beliau menyelusuri kisah setengah abad yang silam, ketika bersama bapak pergi meneroka hutan yang sekarang dikenali sebagai Kg Sungai Manila. Seperti tak percaya bila mengenangkan ketika itu, tinggal di pondok bertiang dan berlantaikan batang pokok serdang, beratapkan atap rumbia dan berdindingkan kulit kayu.  Sekarang, betapa bersyukurnya emak kerana anak-anak kini semuanya cukup makan pakai, berlumba-lumba menimba ilmu, mencari rezeki, meneruskan hidup sebagai khalifah bersama keluarga masing-masing di bumi Allah ini..Alhamdulillah. Setelah cita-citanya untuk menjadi guru tidak kesampaian dek kekangan kewangan bila Mbah Sidek pergi, azam beliau, semua anak-anaknya akan berjaya dalam hidup..insyaAllah, azam mak akan tercapai, amiin..

Nasihat Emak, agar teruskan hidup dengan tenang, ingat Allah sentiasa, setia kepada pasangan, dan sabar dengan karenah anak-anak..

Dalam perjalanan balik ke kuantan, di plaza tol gombak, aku menghulurkan duit kepada jurutol.. tiba-tiba ada suara dari belakang.. “Dia ambik duit abah..” aku dan isteri berpandangan, ketawa, dan perjalanan diteruskan…dah besar anak abah ni..

Ummi

Lagu oleh : Akbar

Sebuah luahan hati
Dari seorang anak
Untuk semua ibu
Ibu yang banyak berjasa
Dan khas
Buat umiku yang tercinta
Dengarlah

Sejak aku dilahirkan
Tak pernah henti kau berkorban
Mengajar ku menjadi insan
Yang berbudi punya pegangan

Kala ku tak mendengar kata
Tak pernah kau doa ku binasa
Cintamu terhebat di dunia
Tiada lagi yang sepertinya

Bagiku kau segalanya
Kau sentiasa dalam jiwa
Umi engkaulah ratuku
Permaisuri dalam kalbu

Ummiiii….Ummiii…..Ummii….Ummii

Khilaf antara kita lumrah
Buat ku sering rasa bersalah
Wahai umi ketahuilah
Kan ku terus melangkah gagah

Sejuta harapan ku bawa
Semangatmu tetap bersama
Sungguh kau tiada gantinya
Walau ku cari serata dunia

Umi engkaulah maharani
Senyum untukku sekali lagi
Usah bimbang wahai ummi
Andai jatuh ku bangun lagi

Ummiiii….Umiii…..Ummii….Ummiii

Mungkin engkau sangka aku
Tak peduli tak ambil tahu
Sedang aku teringat kan mu
Senyum tangis dalam rindu

Manis pahit legar di minda
Aku harap dikau percaya
Bahwa aku tetap setia
Doakanlah aku bahagia

Bahtera ini kan ku layar
Hidup ini terus mengajar
Wahai umi engkau penawar
Kau tetap nyalakan sinar

Ummi yaa lahnan a’syaqohu
wanasyidan dauman ansyuduhu
Fikulli makanin adzkuruhu
wa-azhollu azhollu uroddiduhu

Ini janji ikrar anakmu
Berjuang betuli yang lalu
Daku ingin engkau tahu
Kan ku penuhi hasratmu

Walau hidup dengan caraku
Dibina dari petunjukmu
Usah kau bimbang dan pilu
Ku kenangmu dalam doaku

Rindu pasti terlerai nanti
Engkau kan tetap ku ingati
Andai ku tiada di sisi
Di hati tetap menemani

Ummiiii….Umiii…..Ummii….Ummiii

Alhamdulillah..Kami Dapat Menantu

Semalam 30/01/10 kami adik beradik dapat menantu, anak sulung kepada Abang Mail, Hassan di ijabkabul dengan pasangannya Aizatul Munirah.

Hari Sabtu Kim bekerja separuh hari. Maka kami bertolak dari Kuantan Port jam 1.10 petang.  Berbekalkan arahan Google map yang dicetak, kami pun memulakan perjalanan ke Banting (GPS ? apa tu? telefon bimbit kami berdua dalah model hitam putih Nokia 1202 berharga kurang dari RM100 – ada torchlight). Menurut peta tersebut perjalanan akan mengambil masa 4 jam beberapa 30 minit.

Kami mula berpandukan peta dari MRR2 naik ke AKLEH. Umar (2 tahun 11 bulan) nampak sesuatu.. buu nampak KLCC ?cantiik. Muadz (Setahun Setengah) pun ikut abaaaah .. ciciiii…  yeee, KLCC PETRONAS.. jumpa tol AKLEH, Umar tanya.. abah, ape tu..? ini tol sayang… ooo tol…. lepas tu masuk Jalan Tun Razak, ke lebuhraya KL – Putrajaya, jumpa lagi tol.. Umar : abah.. ade laagi…..yeee ade lagi tol ni… Abah buat pe tu?… abah bayar duit tol, kat Kuala Lumpur ni kita bawak kereta kena bayar tol… ooooo..

Keluar lingkaran Putrajaya, salah masuk jalan, u-turn.. rujuk semula Peta, masuk B15 ke dengkil. kemudian  Jalan Banting B18..arahan seterusnya turn left at Jalan Klang Banting… (mana ada jalan tu belok kiri).. lalu di jalan yang salah,  kami pun terbelok kiri, u-turn lagi… terus ke jalan Abdul Samad, nampak jalan naik, ingatkan salah.. kami pun u-turn.. dan u-turn semula (4 kali u-turn semuanya) Kos masa U-Turn adalah lebih kurang 20  minit.

Setelah melalui beberapa jalan raya dan lebuh raya, dengan hidayah dari Allah, kami sampai ke destinasi jam 5.30 petang. Tukar lampin anak2,  solat dulu di Masjid At-Taqwa.  Rekabentuk masjid ni macam masjid sabak bernam, mungkin orang yang sama arkiteknya. Semasa tu keluarga semua dah mula beransur pulang dari majlis,dan kami bertembung semasa berjalan kaki ke rumah pengantin. Cadangnya malam ini, mereka nak berkumpul di rumah Kang Ram di shah alam. Lepas siap makan dan bersalam dengan pengantin (hassan & munirah) dan tuan rumah, aku ikut Kamil dari belakang menuju ke Shah Alam. Sampai ke HICOM waktu Maghrib, hujan lebat dan banjir kilat di satu dua tempat.

Sepanjang jalan ,  bila jumpa tol je al-faruq akan cakap.. abah, ade lagi bah..iye umar, banyak betul kan.. banyak kan..

Jalan terus sampailah ke Seksyen 11 rumah Kang Ram (Ramlan), akhir sekali kami sampai sini 2 tahun lepas. Kakak, Kak Ipah dan Kang Ram baru sampai. Kamil sampai kemudian, Abang Long (Bersama mak usu & along), Kang Ajib berdua dengan Kak Roslin (dari sabah).. Kak Lalah tak sampai2, rupanya mereka sudah salah masuk jalan dan berhenti di A&W seksyen 15. Abang ramlan pergi meng”escort” kak lalah dan sampai tak lama kemudian.Solat Maghrib & Isyak di situ. Minum teh o, kuih muih, nasi beriani..Alhamdulillah..terima kasih tuan rumah atas layanan diberikan.

Di tepi rumah kang ram, Muadz leka tengok Masjid Shah Alam yang terletak berhampiran.

Hari beransur malam, lalu masing-masing beransur ke destinasi masing-masing, kecuali bapak dan kak ipah yang bermalam di Shah Alam. Kakak Balik ke Sabak Bernam, Kak Lalah Balik ke Teluk Intan, Abang Long ke Johor, Abang Najib tak tau berjalan ke mana (mesti nak pergi shopping, heheh) , Aku ikut Kamil ke Taman Ixora, Sepang, sebelum tu hantar Tina(Anak Saudara) ke Institut Perguruan Islam Bangi dan sampai ke Sepang dalam 12.30 pagi.

Esok pagi lepas sarapan, kami minta permisi dulu dan mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah. Umar nangis nak main basikal naqia.  Mengisi minyak di stesen PETRONAS dan singgah sekejap di Putrajaya… Muadz dah bersuara..ajiiid.. aaa abak (allahu akbar dlm bahasa muadz) umar : buu allahu akbar..masjid.. banyaknye.. iyee banyak kan umar..

Selepas mengambil beberapa gambar, dan muka anak-anak dan ibunya dah jadi merah dek kepanasan, kami pun beransur..sengaja lalu di UPM untuk melihat pemandangan. Banyak struktur baru dibangunkan sejak kami meninggalkan UPM setengah dekad yang lalu..tak lama kemudian Umar & Muadz tidur. . dan kami terus ke Pantai Timur…

Sampai ke Kuantan dalam 3.30 petang..macam biasa, bangun tidur, dua-dua masam..alalalala muah..

Alhamdulillah, Rasa gembira kerana jumpa semua adik-beradik yang 10 orang, dan keluarga masing-masing. Moga tak lama lagi naik pangkat jadi Embah insyaAllah..Mbah Dik..bunyinya macam panggilan arwah bapak emak, Allahyarham Haji Sidek. Teringat Allahyarham Mbah Katun (Mak Emak) masa aku kecil dulu, selalu bila aku ke rumah Pakde Di di sabak bernam, menggelar aku ” uwonge cilik, jenege tuwek”  (orangnya kecil, namanya tua -macam nama arwah suaminya)…

Ya Allah, moga dengan segala nikmat yang Kau berikan, kami menjadi hamba-Mu yang bersyukur, jauhkan kami dari kufur…amiiin…

Cerita versi CK Lah (XIII NAM 751.blogspot.com)

Cerita Versi Kamilz.com (Kamilz.com)

Kalau Cerita Kepada Anak-Anak, Belum Tentu Mereka Percaya

Aku datang daripada sebuah kampung yang damai, Kg Sungai Manila 1 namanya. Kampung aku terletak di pinggir Sungai Bernam, sempadan antara Perak dan Selangor.

Kampung aku semasa aku kecil agak lambat kemajuannya. LLN pasang tiang elektrik semasa aku darjah 1, dan bekalan elektrik bermula semasa aku darjah 2. Pihak LLN juga membeli sedikit tanah bapak untuk didirikan pencawang.

Sebelum tu, untuk tengok TV hitam putih, kami guna bateri kereta sebagai sumber kuasa, yang tahan seminggu. Bila kuasa bateri lemah, gambar di TV akan semakin mengecil , setiap minggu bapak akan hantar bateri tersebut menyeberangi sungai  bernam, ke pekan bagan terap untuk mengecas bateri, tinggalkan sehari dan ambil semula keesokan harinya. Mak akan menggunakan seterika arang untuk menggosok baju sekolah kami.

Di rumah kami ada Enjin generator yang digunakan sesekali untuk menghidupkan lampu (bila hari raya, kenduri dan sebagainya),  selain digunakan untuk mengerakkan mesin pemarut kelapa (yang kemudian dijadikan minyak kelapa). Generator ni terletak 50 meter dari rumah, inovasi bapak adalah menyambung suis penutup kemudian dengan tali sampai ke atas rumah, bila nak tutup, tarik sahaja tali tersebut dan injin akan padam.

Hari-hari lain, kami memakai lampu minyak tanah (minyak kapal terbang yang belum ditulenkan) yang bermacam jenis , antara jenis lampu (dimar) adalah obelik (pelita orang melayu selalu pasang semasa hari raya, ada juga yang ada tapak tinggi sedikit), corong (pelita yang ada balang kaca, dan pemegangnya selalu gambar amoi2 cina) dan gasolin (lampu pam).

Aku, abang aku kamil dan kakak aku kak ipah main wayang kulit (menggunakan kertas dan tangan) berskrinkan kelambu. Kami tidur menggunakan kelambu untuk mengelakkan menjadi mangsa nyamuk.

JBA memasang paip air semasa aku darjah 3. Sebelum tu tempat mandi kami adalah kolam berhampiran dengan rumah (kalau pagi air kolam tak sejuk sangat). Dalam kolam ni ada ikan haruan, keli, puyu & sepat, bila mandi tu selalu tersenggol ikan-ikan. Sesekali kami mandi menggunakan air tangki takungan air hujan. Kadang-kadang kalau malas mandi, siram air je kat bawah bagi mak dengar bunyi air, macam lah mak tak tau anak dia buat trick..

Talian telefon yang ada hanyalah telefon awam, keluarga kami agak beruntung (atau sebaliknya) pihak Telekom memasang sebuah telefon awam (warna oren, kemudian biru) di depan rumah kami. Untuk menelefon luar kawasan, harus menelefon “0” operator terlebih dahulu. Abang aku kamil selalu takut2kan aku kononnya telefon polis suruh tangkap budak. Satu perkara yang aku ingat nombor telefon masa tu adalah 05 671756. Talian telefon bersambung sehingga ke menara telefon yang terletak di Sekolah Kebangsaan Sungai Samak.

Jalan utama masuk ke kampung semasa itu adalah menaiki bot tambang menyeberangi Sungai Bernam, yang muat 5 buah motosikal. Pekan terdekat adalah Bagan Terap (pasar ahad pagi), Sungai Besar dan Sabak Bernam. Pengangkutan utama adalah motosikal dan basikal. Orang yang ada kereta dianggap orang kaya, dan selalunya merekalah yang membantu sekiranya ada orang yang memerlukan kenderaan untuk perjalanan jauh. Ada satu lagi jalan masuk dari jalan persekutuan, tapi jalan tanah sepanjang 14 KM yang berhabuk dan berlubang .

Jalan Raya baru sahaja diturap pada tahun 2003, sebelum itu jalan tanah liat,batu, pasir dan tanah merah lah yang menjadi tempat laluan kami ke sekolah di Kg Sungai Samak. Bila musim hujan, tayar basikal akan menjadi “double” dengan tanah liat.

Setiap hari ahad selalunya akan ada pemburu babi hutan datang mencari habuan, istilah kami gunakan keling gladag (tak tau apa maksud gladag tu..). berbekal senapang patah dan anjing, mereka akan mengepung mangsa mereka sambil membuat bunyi-bunyian..mereka akan membawa mangsa buruan di atas motor, dan kadangkala darahnya menitis-nitis di atas jalan..ish..najis mughallazah.

Aktiviti ekonomi kampung kami berubah-ubah. Semasa aku kecil, aktiviti utama ialah kelapa dan koko. Isi kelapa dicungkil dari tempurung dan akan disalai semalaman diatas rumah salai sebelum dijual di kedah ah seng di Bagan Terap, koko pula akan dijemur sehingga kering. Barang Komoditi tersebut diangkut ke seberang sungai dan lori akan menunggu di sana.

Selepas itu, kelapa “patik” menjadi popular. Kelapa akan dibuang tempurungnya menggunakan kapak  kecil, dan dibuang kulitnya menggunakan pisau patik. Kemudian kelapa basah (berwarna putih) akan dimasukkan kedalam guni dan dijual.

Tahun 90 an orang mula menanam kelapa sawit menggantikan kelapa dan koko, sehinggalah sekarang, rata-rata pokok kelapa sawit yang mendominasi kawasan kampung kami. Pokok kelapa yang tinggal hanyalah untuk kegunaan seharian.

Nanti aku akan sambung lagi bila ingatan jangka panjang aku pulih..insyaAllah..

Hikayat lampu kalimantang dan lampu kecemasan

Aku, Isteri dan anak-anak masuk rumah ni lepas raya puasa tahun 2008,  apabila selesai kerja-kerja mengecat rumah dan mewayar dijalankan, semua ok alhamdulillah, cumanya ada satu lampu kalimantang di bilik air belakang yang tak pernah hidup. Aku bagitau bos yang buat wiring tu, dia cakap nanti dia bagitau adik dia. lepas tu, aku SMS, telefon tak berjawab.. oleh kerana bilik air belakang jarang digunakan, aku biarkan sahaja. Cuma kesian bila tetamu-tetamu sesekali bermalam di sini terpaksa bergelap di bilik air, rasa tak patut sangat sebagai tuan rumah.

Bulan lepas abang aku, Kamil nak datang rumah, masa tu musim hujan, kadang-kadang blackout. Aku pun beli lampu kecemasan di Tunas Manja, memang lampu ni dah lama aku nak beli, cuma kurang motivasi. Bila abang aku & keluarganya datang, lampu kecemasan ni lah yang jadi sumber cahaya dalam bilik air. Ok lah juga sekurang-kurangnya tak bergelap.

Minggu lepas, bangun-bangun pagi tiba-tiba air dalam bilik air tak keluar, bila periksa air di dapur yang bersambung terus dengan punca air dari luar, air mengalir macam biasa, mesti sesuatu berlaku ke atas aliran air ke tangki atas rumah ni, tapi nak tengok tangga tak ada. Lalu dalam seminggu ni kami sekeluarga mandi di bilik air belakang dengan menyambungkan hos kepada paip air di dapur dan bercahayakan lampu kecemasan.

Semalam aku pinjam tangga daripad En Faridz jiran depan rumah kami ni, umar dah tanye “abah buat ape tu” “angkat tanggeeee..” “angkat tangge te?” “iyeee”. Untuk mengelakkan pertanyaan lanjut, aku pun tuggu sampai petang tadi, anak-anak tengah tidur. Aku pon mula operasi memanjat, berbekalkan lampu kecemasan, cabut pelampung tanpa menggunakan alatan. Rupa-rupanyaanya ada rumput & batu menyekat pengaliran air, buang guna dawai, dan pasang semula. Alhamdulillah, masalah air selesai..

Aku pun turun, sambil tu cabut starter lampu kalimantang bilik air belakang yang tak pernah hidup tu, nampak macam ada wayar tercabut dalam tu, tukar dengan starter baru, buat kali pertamanya lampu tu pun hidup, alhamdulillah, lepas ni tetamu tak payah guna lampu kecemasan lagi, lampu kecemasan boleh diguna pada waktu-waktu kecemasan.:-).. terima kasih kepada jiran depan rumah yang sudi pinjamkan tangga, akhirnya masalah lampu kalimantang dan lampu kecemasan selesai..

Kisah Timbang yang Rosak

Dulu-dulu, 11 tahun yang lepas, bila aku isi syiling dua puluh sen kat mesin penimbang kat Metro Kajang, suara makcik dari penimbang tu akan berkata “Berat anda adalah 55Kg, anda kurus & kurang berat badan” – lalu aku pun berkata dalam hati “ish aku dah kuat makan macam ni pun dia kata kurus lagi, mesti mesin ni rosak kot..”

Kelmarin, bertempat di bentong, tempat pengisian gas yang telah beberapa tahun tidak beroperasi dan kini menjadi tempat penyimpanan silinder-silinder kosong, terdapat sebuah mesin penimbang lama..dan aku pun cuba naik ke atasnya, tiba-tiba, jarum penimbang tersebut berpusing ke angka 79Kg..80Kg..- aku berkata di dalam hati “mesin lama ni dah memang rosak..takkan sampai 80 kilo kot, dulu sebelum aku kerja 60 kilo je..ish3..” lalu aku pergi dengan gembiranya, dengan dahi berkerut…