Categories
Ingatan Isu Semasa

Budaya Sensasi

paya bersebelahan dengan pusat pembuangan sampah jabor
paya bersebelahan dengan pusat pembuangan sampah jabor

Mungkin kita biasa dengan berada dalam situasi ini.

1) Jalan empat lorong, kesesakan jalan raya berlaku dan pemandu tertanya-tanya apakah yang menyebabkan jalan raya sesak. Bila sampai, rupa-rupanya ada motokar pancit di lorong berlawanan, dan ada dua tiga motokar lagi berhenti. Selepas tempat tersebut, lalulintas bergerak lancar dan pemandu tadi masih tertanya-tanya kenapa tempat tadi sesak (walaupun dia sendiri memperlahankan kenderaan kerana nak melihat motokar pancit tadi).

2) Berlaku kemalangan ngeri melibatkan bas. Daripada pengunjung kedai kopi hingga pak  menteri  semua ingin beri pendapat, ada yang mencadangkan bas tak boleh bergerak waktu malam, ada yang mencadangkan bas patut dilupus setelah 10 tahun, ada yang mencadangkan sistem demerit diperketatkan, ada yang mencadangkan laluan khas bas di lebuh raya. setelah dua minggu, cadangan hanya tinggal cadangan, yang akan timbul semula bila ada bas lain terlibat dalam kemalangan.

3) Berlaku kematian, dan wartawan (rasmi atau tak) bertanya kepada keluarga mangsa. sebelum mati ada tak berlaku perubahan apa-apa pada arwah. lalu si ibu yang sedang bersedih terpaksa menjawab soalan mengatakan arwah menjadi seorang pendiam. Lalu cerita itu disebarkan, dan ditokok tambah dengan perisa untuk menyedapkan cerita. Menyebabkan timbul persepsi, bila seseorang tu berubah, tiba-tiba rajin baca quran, rajin solat, rajin bekerja ..”orang ni buang tebiat ke, nak mati agaknya”, sehingga menyebabkan orang tersebut kurang motivasi untuk berubah.

4) Seorang hamba Allah menceritakan pengalaman peliknya diganggu makhluk halus (selain kategori semut, kuman dan nyamuk), lalu rakan-rakan yang mendengar ghairah mula menceritakan pengalaman seumpama yang pernah dilalui, atau pengalaman yang kawan kepada rakan tadi ceritakan, atau pengalaman sahabat kepada kawan kepada rakan tadi ceritakan, yang pastinya ada sedikit pengubahsuaian.

Banyak lagi cerita lain yang kita mungkin berada dalamnya. Ini boleh dikategorikan sebagai budaya sensasi, budaya yang kita dan masyarakan kita suka dengar. Inilah yang sering dipaparkan di kaca televisyen dan bahan bacaan, yang kita suka tonton dan baca. Kisah Misteri, kes mahkamah syariah, kisah dahsyat, yang mungkin tujuannya sebagai pengajaran, tapi kebanyakan kita menonton semata-mata kerana minat dengan perkara-perkara misteri dan sensasi yang boleh diceritakan kepada orang. Bila kita asyik mencari kulit, kita lupa mencari isi.. makan kulit, kacang dilupakan.

Mungkin yang membaca karangan taraf PMR ini, tidak termasuk dalam hamba Allah yang disebutkan tadi. Tapi yang menulis  ini  selalu menjadi orang-orang di atas, tapi saya tidak berbangga kerana menjadi seperti tersebut.

Ramadhan adalah titik tolak untuk kita berubah ke arah kebaikan. Cuba tanya diri banyak mana perubahan  yang kita belum lakukan.

Menganggap diri masih munafiq adalah jauh lebih baik daripada menganggap diri sudah kuat imannya. kerana orang yang rasa diri masih munafiq, akan berusaha membuang ciri-ciri nifaq yang ada padanya. (Rujuk kisah hanzalah r.a. di artikel ustaz hasrizal )

* sebahagian isi adalah  olahan daripada tazkirah ustaz hishamuddin dalam satu program anjuran syarikat semalam.