Sidik.Org Aktiviti Kalau Cerita Kepada Anak-Anak, Belum Tentu Mereka Percaya

Kalau Cerita Kepada Anak-Anak, Belum Tentu Mereka Percaya

Aku datang daripada sebuah kampung yang damai, Kg Sungai Manila 1 namanya. Kampung aku terletak di pinggir Sungai Bernam, sempadan antara Perak dan Selangor.

Kampung aku semasa aku kecil agak lambat kemajuannya. LLN pasang tiang elektrik semasa aku darjah 1, dan bekalan elektrik bermula semasa aku darjah 2. Pihak LLN juga membeli sedikit tanah bapak untuk didirikan pencawang.

Sebelum tu, untuk tengok TV hitam putih, kami guna bateri kereta sebagai sumber kuasa, yang tahan seminggu. Bila kuasa bateri lemah, gambar di TV akan semakin mengecil , setiap minggu bapak akan hantar bateri tersebut menyeberangi sungai  bernam, ke pekan bagan terap untuk mengecas bateri, tinggalkan sehari dan ambil semula keesokan harinya. Mak akan menggunakan seterika arang untuk menggosok baju sekolah kami.

Di rumah kami ada Enjin generator yang digunakan sesekali untuk menghidupkan lampu (bila hari raya, kenduri dan sebagainya),  selain digunakan untuk mengerakkan mesin pemarut kelapa (yang kemudian dijadikan minyak kelapa). Generator ni terletak 50 meter dari rumah, inovasi bapak adalah menyambung suis penutup kemudian dengan tali sampai ke atas rumah, bila nak tutup, tarik sahaja tali tersebut dan injin akan padam.

Hari-hari lain, kami memakai lampu minyak tanah (minyak kapal terbang yang belum ditulenkan) yang bermacam jenis , antara jenis lampu (dimar) adalah obelik (pelita orang melayu selalu pasang semasa hari raya, ada juga yang ada tapak tinggi sedikit), corong (pelita yang ada balang kaca, dan pemegangnya selalu gambar amoi2 cina) dan gasolin (lampu pam).

Aku, abang aku kamil dan kakak aku kak ipah main wayang kulit (menggunakan kertas dan tangan) berskrinkan kelambu. Kami tidur menggunakan kelambu untuk mengelakkan menjadi mangsa nyamuk.

JBA memasang paip air semasa aku darjah 3. Sebelum tu tempat mandi kami adalah kolam berhampiran dengan rumah (kalau pagi air kolam tak sejuk sangat). Dalam kolam ni ada ikan haruan, keli, puyu & sepat, bila mandi tu selalu tersenggol ikan-ikan. Sesekali kami mandi menggunakan air tangki takungan air hujan. Kadang-kadang kalau malas mandi, siram air je kat bawah bagi mak dengar bunyi air, macam lah mak tak tau anak dia buat trick..

Talian telefon yang ada hanyalah telefon awam, keluarga kami agak beruntung (atau sebaliknya) pihak Telekom memasang sebuah telefon awam (warna oren, kemudian biru) di depan rumah kami. Untuk menelefon luar kawasan, harus menelefon “0” operator terlebih dahulu. Abang aku kamil selalu takut2kan aku kononnya telefon polis suruh tangkap budak. Satu perkara yang aku ingat nombor telefon masa tu adalah 05 671756. Talian telefon bersambung sehingga ke menara telefon yang terletak di Sekolah Kebangsaan Sungai Samak.

Jalan utama masuk ke kampung semasa itu adalah menaiki bot tambang menyeberangi Sungai Bernam, yang muat 5 buah motosikal. Pekan terdekat adalah Bagan Terap (pasar ahad pagi), Sungai Besar dan Sabak Bernam. Pengangkutan utama adalah motosikal dan basikal. Orang yang ada kereta dianggap orang kaya, dan selalunya merekalah yang membantu sekiranya ada orang yang memerlukan kenderaan untuk perjalanan jauh. Ada satu lagi jalan masuk dari jalan persekutuan, tapi jalan tanah sepanjang 14 KM yang berhabuk dan berlubang .

Jalan Raya baru sahaja diturap pada tahun 2003, sebelum itu jalan tanah liat,batu, pasir dan tanah merah lah yang menjadi tempat laluan kami ke sekolah di Kg Sungai Samak. Bila musim hujan, tayar basikal akan menjadi “double” dengan tanah liat.

Setiap hari ahad selalunya akan ada pemburu babi hutan datang mencari habuan, istilah kami gunakan keling gladag (tak tau apa maksud gladag tu..). berbekal senapang patah dan anjing, mereka akan mengepung mangsa mereka sambil membuat bunyi-bunyian..mereka akan membawa mangsa buruan di atas motor, dan kadangkala darahnya menitis-nitis di atas jalan..ish..najis mughallazah.

Aktiviti ekonomi kampung kami berubah-ubah. Semasa aku kecil, aktiviti utama ialah kelapa dan koko. Isi kelapa dicungkil dari tempurung dan akan disalai semalaman diatas rumah salai sebelum dijual di kedah ah seng di Bagan Terap, koko pula akan dijemur sehingga kering. Barang Komoditi tersebut diangkut ke seberang sungai dan lori akan menunggu di sana.

Selepas itu, kelapa “patik” menjadi popular. Kelapa akan dibuang tempurungnya menggunakan kapak  kecil, dan dibuang kulitnya menggunakan pisau patik. Kemudian kelapa basah (berwarna putih) akan dimasukkan kedalam guni dan dijual.

Tahun 90 an orang mula menanam kelapa sawit menggantikan kelapa dan koko, sehinggalah sekarang, rata-rata pokok kelapa sawit yang mendominasi kawasan kampung kami. Pokok kelapa yang tinggal hanyalah untuk kegunaan seharian.

Nanti aku akan sambung lagi bila ingatan jangka panjang aku pulih..insyaAllah..

3 thoughts on “Kalau Cerita Kepada Anak-Anak, Belum Tentu Mereka Percaya”

  1. Wahai umar,wahaimuaz,percayalah kata-kata abahmmu itu,kalau tak percaya tanya kakak tiqah dan kak tina,walaupun kena menapak sejauh 2km sebelum naik bot bila tiba musm hujan,setiap cuti sekolah mereka nak juga pergi rumah embah,so jangan bena alasan lain mengapa tak boleh balik rumah embah selalu

  2. Sekarang ni…kalau member sekolah ajak ‘rombongan’ pergi Taman Negara ke…mendaki bukit ke….jungle tracking ke…aku memang tak pernah nak ikut……aku dah puas berjungle tracking kecik-kecik dulu setiap hari pergi ke sekolah…lagi original punya!!!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Related Post

Hari Isnin :DHari Isnin :D

Sindrom hari isnin, jangan jadikan satu budaya..betulkan niat kerana Allah,berfikiran positif,lakukan kerja dengan Amanah, InsyaAllah semuanya diberkati..selamat bekerja B-) Related posts: Kuantan! nantikan kedatanganku :p Integrity Hari ini hari sabtu