Perjalanan memperolehi CIMA

Alhamdulillah, semalam saya telah mendapat keputusan lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accounting (CIMA).

Semuanya bermula pada 2015 di mana saya melihat sebuah iklan mengenai program Peneraju Professional Pensijilan Perakaunan Yayasan Peneraju yang dikongsi oleh salah seorang rakan di Facebook. Saya melayari laman web berkenaan dan mendapati had umur bagi program tersebut adalah 40 tahun.

Setelah berbincang dengan Isteri saya, beliau menggalakkan untuk saya cuba untuk memohon pembiayaan tersebut. Maklumlah, belajar memerlukan ongkos yang tersendiri dan untuk mengeluarkan dana sendiri memerlukan motivasi yang kuat. Peluang yang ada untuk pembiayaan, bagi saya merupakan perkara yang perlu diambil.

Kemudian saya pun mula melayari laman web ACCA, CIMA dan CPA Australia, dan melihat keperluan , kelebihan dan kekurangan setiap program dan akhirnya saya memilih untuk memohon mengikuti program CIMA. Antara sebab utama saya sebab program CIMA kurang ahlinya di Malaysia dan fokusnya adalah Akaun Pengurusan.

Saya mendapatkan restu mak untuk menyambung pelajaran, dan beliau menyokong sepenuhnya untuk saya meneruskannya. Saya menghantar borang permohonan dalam talian dan pada Oktober 2015, wakil dari Noesis Exed (terletak di sunway velocity) menghubungi saya meminta saya untuk menghantar dokumen sokongan.

Seterusnya pada 31 Oktober 2015, saya hadir di Noesis untuk ujian kelayakan (Penulisan Bahasa Inggeris Profesional- 2 jam dan Asas Perakaunan – 2 jam)

Dua minggu kemudian, saya mendapat makluman bahawa saya terpilih untuk mengikuti program PPPP tersebut dan saya perlu hadir mengikuti program persediaan pada hujung minggu bermula pertengahan November 2015 sehingga hujung Disember 2015. Peserta dalam program tersebut adalah calon penerima pembiayaan untuk CIMA dan CPA Australia. Di dalam program tersebut, kami perlu menghadiri 4 kelas penulisan Bahasa Inggeris, dan kelas-kelas pengkayaan yang lain. Tujuannya adalah untuk menyediakan dan menguji komitmen bakal penerima pembiayaan  untuk mengikuti kelas sebenar nanti.

Hujung tahun adalah cuti sekolah, dan kami sekeluarga berbincang bersama, Akhirnya cuti sekolah anak dipenuhi dengan ketiadaan saya di rumah. Alhamdulillah, Isteri dan anak-anak menyokong pemergian saya dengan Redha.

Saya juga meminta kebenaran daripada pengurus saya di pejabat untuk mengikuti program ini, dan beliau tiada halangan dan menyokong saya   (Surat Kebenaran daripada pengurus juga dikehendaki oleh Pihak Yayasan Peneraju)

Setelah program persediaan berakhir, kami ditawarkan untuk menandatangani surat perjanjian pembiayaan yang mana antara syarat utamanya ialah kami wajib menghadiri semua kelas hujung minggu yang dijadualkan oleh Noesis Exed.

Sebenarnya pada ketika itu, hati saya berbelah bagi sama ada untuk meneruskan atau berhenti sekerat jalan. Dengan sokongan Ibu, Isteri, adik-beradik dan anak-anak, saya bertekad untuk meneruskan walaupun nanti mungkin akan dikorbankan program kenduri, bercuti dan lain-lain.

Program CIMA secara keseluruhannya terdapat 4 aras, iaitu Pensijilan (4 ujian), Aras Operasi (4 ujian) , Aras pengurusan  (4 ujian) dan Aras Strategi (4 ujian).  (Maaflah CIMA sekiranya alih bahasa saya tidak menepati maksud asal).

Sebagai pemegang Bacelor Perakaunan UPM 2004, saya hanya diberi pengecualian peringkat Pensijilan, bermakna saya perlu mengambil 12 ujian kesemuanya dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 3 tahun.

Kemudian, saya mendapat tahu bahawa MIA (Malaysian Institute of Accounting) dan CIMA mengadakan usaha sama yang menawarkan ahli MIA pengecualian beberapa ujian untuk mengikuti CIMA. Namun, pada masa tersebut, saya belum lagi menjadi ahli MIA. Oleh itu proses seterusnya tentulah  memohon untuk menjadi Ahli MIA. Permohonan saya diterima dan saya mendapat Keahlian MIA pada Januari 2016.

Setelah keahlian MIA diperolehi saya memohon daripada CIMA Asia Tenggara untuk mengikuti MIA-CIMA Strategic Leadership Programme, pada masa tersebut saya sudah mula mengikuti kelas F3  (Financial Strategy) di Noesis.

Pada Mac 2016, saya mendapat keputusan bahawa permohonan tersebut berjaya dan oleh kerana saya mempunyai lebih 10 tahun pengalaman kerja dan merupakan Ahli MIA, saya mendapat pengecualian 11 ujian dan perlu mengambil 1 ujian akhir sahaja.

Saya terus menghadiri kelas P3 (Risk Management) pada bulan Mei – Jun 2016 dan E3 (Strategic Management) pada Julai – September 2016 untuk memenuhi syarat Yayasan Peneraju dan untuk meningkatkan pengetahuan saya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Strategic Case Study yang menggabungkan ketiga-tiga subjek aras strategi.

Pada bulan Oktober dan November 2016, saya mengikuti kelas persediaan Strategic Case Study dan pada 26 November 2016 saya menduduki ujian berkenaan bertempat di pusat Pearson Vue dan pada 12 Januari 2017, saya mendapat keputusan bahawa saya lulus ujian tersebut. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah.

Jadi akhirnya urusan saya untuk memperolehi CIMA qualification melepasi tahap akhir. Perkara seterusnya yang perlu diseselaikan adalah untuk menghantar permohonan keahlian bersama bukti pengalaman profesional.

Dengan Alhamduillah, segala pujian dipanjatkan kepada Allah yang memudahkan segala urusan. Terima kasih kepada Mak yang memberi sokongan sepenuhnya walaupun anak bongsunya kurang balik kampung kerana menghadiri kelas setiap hujung minggu. Abah & Mak mertua di pekan yang angahnya juga kurang balik kampung kerana suaminya pergi ke kelas. Kepada Isteri dan anak-anak yang sanggup berkorban hujung minggu, ketiadaan suami dan abah di sisi, pengorbanan kalian amatlah bermakna. Kepada keluarga yang jemputan program keluarga ada yang terpaksa saya tidak hadir, terima kasih atas keredhaan kalian.

Seterusnya ribuan terima kasih kepada pihak Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera atas pembiayaan, pihak MIA, CIMA, rakan-rakan CPA/CIMA pengambilan Januari 2016, pensyarah dan staf Noesis exed, rakan-rakan sekelas F3, P3 , E3 dan SCS Revision, pengurus dan rakan-rakan lain.

http://www.cimaglobal.com

http://www.mia.org.my

http://www.yayasanpeneraju.com.my

http://www.noesis.com.my

 

 

Yang Tersirat di sebalik yang tersurat

DIGITAL CAMERA
Durio Kutej- Kredit, wiki pedia

 

Pak Aman berniaga durian di pasar malam, biasanya perniagaan tamat jam 10.30 malam.

Jam menunjukkan pukul 10.15 malam, Pak Aman sudah menjual 2/3 daripada stok jualan tersebut dan keuntungan yang telah diperolehi sudah memadai dan mencapai sasaran.

Pak Aman mendapat satu idea untuk menghabiskan stok durian beliau

“Promosi penghabisan stok, sekilo sepuluh sen, satu guni 10 ringgit, untuk orang-orang yang bijak sahaja!”

Datanglah seorang jurutera yang baru pulang dari kerja,

“Pakcik, saya nak 5 kilo durian”

Pak Aman pun membungkus 5 kilo kulit durian.

“Apa ni pakcik, penipu, tak sekolah ke, saya nak durian, bukan kulit durian, sudah lah.. ” kata jurutera tersebut.

Dengan muka selamba. Pak Aman pun berkata “Kalau anak taknak beli tak apa, pakcik tak jual”

Seorang pemandu teksi yang melihat kejadian tersebut pun datang,

“Bagi aku 10 kilo durian”.

Seperti tadi, Pak Aman pun membungkus 10 kilo kulit durian…

Dusyum!, Dusyum!, pemandu teksi tersebut menumbuk muka pak Aman, “Orang tua tak sedar diri, dah tua-tua pun ada hati nak menipu”

Sambil kesakitan, Pak Aman pun berkata, “kalau encik taknak beli takpe, tapi jangan lah tumbuk saya.”

Kemudian, datang seorang pengutip sampah yang juga melihat kejadian tersebut bersama troli nya,

“Saya nak beli kulit durian satu guni berapa? ”
“10 ringgit satu guni kata Pak Aman”
“Baiklah encik,  bagi saya 2 guni kulit durian.”

Lalu Pak aman pun memasukkan semua stok durian yang ada ke dalam troli pengutip sampah tersebut, dan menerima bayaran 20 ringgit.

Pengutip sampah menuju ke vannya dan dengan ceria membawa pulang 2 guni durian dengan harga 20 ringgit.

Pengajaran :
1) Dalam banyak perkara kita kena berfikir yang tersirat di sebalik yang tersurat
2) Berfikir dulu adalah lebih baik dari menghamburkan kata-kata kesat/tindakan ganas.
3) Kalau anda penjual di pasar malam, Jangan buat “prank” seperti ini. tak baik buat “prank” ni…

 

Dari Negeri di Bawah bayu ke Negara Gajah Putih

Setelah lebih setahun di Sabah,  Negeri di Bawah Bayu, kini masanya untuk berhijrah semula.

 

Bermula 1 Jun,  saya berhijrah ke Ibu Kota Kuala Lumpur, dan selama enam bulan ditugaskan di Negara Gajah Putih, Thailand. Benarlah, hidup ini adalah satu perjalanan. Semoga Allah meredhai dan memberikan rahmat di sepanjang perjalanan ini. Amiin..

kilang di pinggir chao phraya
kilang di pinggir chao phraya

Selamat Datang Maryam Jameelah

Subuh 1 Muharam 1434,Alhamdulillah Kami menyambut kelahiran puteri pertama dalam keluarga kami.
image

Sekarang Maryam Jameelah dah berusia dua minggu. Semoga anak ini jadi anak yang solehah, permata hati abah dan ibu  di samping abang-abangmu Umar dan Muadz. Untung  lahir dah ada dua orang body guard :-).
image

Syawal 1433 hijrah

Alhamdulillah Ramadhan 1433 hijrah berlalu, semoga kita dikurniakan Taqwa.

Solawat & Salam untuk Rasulullah S.A.W, keluarga, dan para sahabat Radiallahu Anhum.

Perjalanan pulang ke kampung Idul fitri 1433 tahun ini merupakan perjalanan yang agak panjang berbanding tahun-tahun yang lepas.

2 hari sebelum berangkat, semasa menghantar Umar dan Muadz ke sekolah Muadz bertanya “Abah, Allah suka kan orang yang sabar”, saya jawab “ye”, Muadz dengan bangganya berkata “Ibu dengan along tu tak sabar nak balik rumah tok”..hmm, rupanya Muadz dengar dialog ibu dan umar semasa memujuk mereka ke sekolah pagi tu.

[beberapa minggu sebelum itu, saya mengambil jalan pintas (jalan dekat mengikut istilah Umar), dan Umar memulakan dialog “sabar” itu, mengikut pemahaman Umar mengambil jalan cepat samalah dengan tak sabar, Allah suka orang yang sabar) dialog itulah yang digunakan oleh Muadz kemudian ]

Hari khamis 16 Ogos, kakak ipar saya Kak Lyn mengambil kami di Putatan dan menghantar ke terminal 2 Lapangan Terbang Antara bangsa Kota Kinabalu. Semoga Allah merahmati Kak Lyn & Kang Ajib sekeluarga.

Tiba di Terminal 2, saya “menjatuhkan bag” (bag drop?) di kaunter, cadangan asalnya untuk memasukkan sekali kotak berisi ikan bilis, udang kering amplang,  dan rakan-rakannya. Tapi cadangan terhalang kerana kotak tersebut lebih dua Kg dari jumlah bagasi yang dibeli. Untuk membayar RM50 tambahan untuk lebihan Kg tersebut saya rasa macam tak berbaloi, jadi jinjing sahaja.

Waktu maghrib hampir tiba, lalu kami mencari tempat untuk duduk. Sebaik sahaja waktu maghrib masuk, dan diumumkan melalu pembesar suara. Kami berbuka puasa dengan nasi dan air ribena yang di “tapau” dari rumah. Berhampiran dengan tempat kami duduk, kelihatan beberapa orang anak muda duduk bersila berbuka dengan makanan segera yang dibeli di kedai berhampiran. Alhamdulillah, rezeki Allah boleh dinikmati di mana-mana, atas alasan apa lagi sekiranya kita tidak bersyukur?

Seusai solat jamak maghrib & isyak, kami terus beredar ke balai pelepasan. Kakak imegresen agak keliru untuk mengecam yang mana satu umar dan mana satu muadz, macam kembar, katanya.

Ketika itu Isteri saya sedang mengandung 27 minggu, lalu petugas di kaunter memberikan surat idemnity untuk ditandatangani.

Sebaik duduk di tempat duduk di belakang pesawat, kedengaran suara budak bertanya, “ibu, bila makanan nak sampai?” hmm.. tadi baru sahaja makan dah lapar semula?

Tempat duduk di belakang kami kosong, jadi dapatlah menyandarkan kerusi tanpa mengganggu penumpang di belakang.

Tiba di LCCT, Encik yang menyewakan kereta telah sedia menanti, kunci bertukar tangan dan kami meneruskan perjalanan ke Pekan.

Saya mengimbas Twitter lembaga lebuh raya malaysia, ada kicauan menunjukkan kenderaan bergerak perlahan di beberapa tempat.

Saya berhenti mengisi minyak di stesen minyak berhampiran, tetapi stesen tersebut kehabisan tambahnilai Touch n Go. Di stesen minyak seterusnya barulah nilai prabayar dapat diisi semula. Musim perayaan, penggunaan TNG diharap dapat menjimatkan beberapa minit masa di lebuh raya.

Perjalanan agak lancar sehingga lah tiba di kawasan Genting Sempah. Kereta bergerak  perlahan sehingga ke plaza tol Karak. Jika sebelum ini kami selalu melihat kesesakan lalu lintas di lorong berlawanan, kali ini kami pula yang merasainya. Benarlah hidup ini umpama roda, bila di atas jangan lupa yang di bawah.

Perjalanan kembali lancar selepas itu. Saya berhenti di beberapa hentian untuk meredakan rasa mengantuk, anak-anak tidur sepanjang pernalanan. Akhirnya jam 5.15 pagi, kami selamat sampai ke Pekan. Jika di KK, jam 5.15 orang sudah selesai solat subuh, alhamdulillah kami sempat bersahur dengan lauk daging opor masakan abah pagi itu. Sebelum masuk waktu Subuh.

Selepas hilang mengantuk, jam 11 pagi, kami ke kuantan untuk mencari beberapa barang. Solat jumaat di Masjid kuantan, saya mengimbau suasana semasa bertugas di Kuantan tahun lepas. Tidak banyak berubah. Saya melintasi padang MPK, terdapat tong-tong sampah yang disediakan untuk orang ramai “rehlah iftar” di situ. Papan tanda besar meminta orang ramai menjaga kebersihan. Baguslah kebersihan dijaga.

Singgah di bazar ramadhan Mentiga. Dapat juga membeli murtabak yang lama diidamkan oleh si ibu mengandung. Hari itu tak ramai orang yang berniaga, mungkin ramai “peniaga segera” yang sudah berhenti berniaga. Pakcik jual murtabak tersebut jugalah yang setia menjual, rasa murtabak beliau juga sangat konsisten kelazatannya.

Malam Sabtu  tarawikh terakhir ramadhan 1433. semoga Allah menerima segala amalan kita. Hari Sabtu saya sempat menganyam 20 biji ketupat untuk menambah 30 biji yang  dianyam oleh mak mertua saya. Adik ipar saya membakar lemang, manakala yang lain-lain dengan tugasan masing-masing.  Tiba petang, hujan turun dengan lebatnya, berbuka terakhir Ramadhan 1433.

Malam itu. seperti dijangka penyimpan mohor besar raja-raja mengumumkan tarikh 1 syawal jatuh pada hari ahad, keesokan harinya. Di masjid temai, didahului tok imam kasim, Takbir idulfitri berkumandang menandakan kemenangan umat islam menjalani ibadah puasa..Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..

Pagi idulfitri sungguh hening, tiada hujan. Selepas bersarapan, kami beramai-ramai ke Masjid Temai untuk menunaikan solat sunat idulfitri. Selepas solat, imam membacakan khutbah yang mengajak umat islam untuk terus beribadah selepas Ramadhan berlalu, dan juga menjaga adab ketika menyambut syawal. Selesai khutbah, tahlil ringkas dibaca.

Di rumah abah mertua, kami bermaaf-maafan dan kemudian sesi fotografi dijayakan oleh beberapa jurukamera amatur. Kami bertolak ke rumah tok wa yang berada tidak jauh dari situ. Sememangnya menziarahi pusara tidak perlu menunggu syawal, tapi kami mengambil kesempatan untuk menziarahi kerana masa inilah semua orang dapat pergi bersama. Lagipun, seram sejuk juga bila nak pergi sorang-sorang pada hari lain, entah-entah ada binatang buas. Petangnya kami menziarahi makcik.

2 syawal kami bersiap untuk bergerak ke Hutan Melintang. Selepas zohor kami bertolak melalui LPT, lebuhraya karak, Plus, latar dan jalan biasa. Cuaca agak redup dan perjalanan tidak terasa kejauhannya. Saya berhenti di stesen minyak berhampiran Sg Haji Dorani Sungai besar, maghrib & Isyak di situ. kemudian berhenti makan di gerai makan di Sabak Bernam. Tiba di Sungai Manila dalam jam 10.30, beberapa orang abang dan kakak saya sudah sampai, Emak & Bapak sudah terlelap, esok sahajalah baru berjumpa insya-Allah.

3 syawal, selepas subuh, awal pagi, saya dan abang saya Kamil pergi ke sabak-bernam & sungai besar untuk mencari sarapan, kedai-kedai banyak yang belum dibuka. Ada abang jual nasi lemak tepi jalan, kemudian tunggu roti canai di Restoran Seri Kassim hampir sejam, memang ramai betul orang. Sampai rumah orang dah kenyang makan mee goreng yang dimasak oleh kakak-kakak ipar.

Tengah hari Lek Samuri (Adik Emak) dari Sungai besar datang, menurutnya selepas itu nak ke sungai tengi. Lalu kami ikut senior-senior  menziarahi Pak de Munjiat di Felda Sungai Tengi, Lek Samuri di sungai besar, Balu arwah Pak Jahro dan Balu arwah Pak de di di tebuk pulai, Sabak Bernam, Menu kegemaran kanak-kanak hari tu ialah keropok tayar..entah habis berapa balang.

Akhirnya kami berkumpul  di rumah Kak Shimah di Kg Banting. Sambal Taun idaman ibu mengandung juga disediakan :), terima kasih kakak. 2 3 kali saya tambah nasi, “sambal taun – semakin pedas semakin nak lagi”

4 Syawal kami menziariahi rumah Kak Ipah di Lekir, Setiawan dan Kak Lalah di Teluk Intan. Setiap rumah, anak-anak saudara dan anak-anak saya buat macam rumah sendiri. Merajuk, main, makan, main, nangis, gaduh, main semula. Seronok betul rasanya jadi budak-budak.

5 Syawal, kami adik beradik sempat menziarahi rumah Mbok Kom, Pak Bakri (Sempat mintak mempelam) dan Pak Kam (ilham) di Sungai Manila, banyak lagi rumah jiran-jiran yang tak sempat di kunjungi. Selepas itu saya dan keluarga ke Sungai Besar untuk mencari pakaian bayi. Sibuk Muadz tanya dah beli ke bantal baby, selimut baby, sabun baby, botol susu baby. Kita nak cari baju je sayang, yang lain kemudian nanti insyaAllah.

6 syawal, Hari Jumaat kami mengiringi keberangkatan pulang abang-abang saya ke tempat tinggal masing-masing. Ada yang ke Johor dan ke Lembah Kelang. Petang itu, bapak dan emak ikut kami keluar ke Sabak Bernam . Ada pasar malam, tapi belum banyak peniaga di situ.

7 Syawal, selepas sarapan kami mohon permisi mak & bapak untuk pulang ke Sabah. Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada Mak & Bapak, dan semoga kedua-duanya sentiasa didalam rahmat Allah. Jam 11 kami bertolak, mengisi minyak di Sungai Besar. Jam 1 tiba di Shah Alam, rumah Kang Ram, solat zuhr & asar, makan nasi di situ. Masa di Sungai Manila tak sempat jumpa. Kemudian kami singgah di rumah (kang) Kamil di sepang, pusing balik ke rumah Kang Anip di bangi, kemudian bergegas ke LCCT. Tiba di LCCT jam 7.15, tunggu sekejap Encik tuan punya kereta, pulangkan semula kunci dan odometer kini menunjukkan 11++ ribu kilometer berbanding minggu lepas 9++ ribu KM. Hampir 2,000 KM memandu!. Jam 7.30 dan saya bergegas ke kaunter “jatuhkan beg”. Beratn beg 29.6Kg. nyaris-nyaris sampai 30Kg, hehe, bijak isteri saya mengagak berat beg. Kami terus ke balai perlepasan, maghrib & isyak di situ dan ke pintu 11 untuk berlepas menaiki belon jam 8.20 malam. Alhamdulillah, kerusi belakang kami kosong juga, jadi anak-anak boleh tidur baring. Jam 11.30 kami sampai ke Taman Pasir Putih dihantar pakcik teksi.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar

Begitulah kisah syawal kami. Sekadar catatan untuk kenangan anak-anak bila dewasa nanti.

Syawal yang tiba, iblis syaitan tidak lagi dibelenggu. Hakikatnya syaitan tidak pernah berehat dari menyesatkan manusia, manusia sahaja yang selalu lupa dengan tipu daya syaitan dan terpedaya. Sama-sama kita memohon perlindungan denganNya.

Ingatlah jerat tak pernah melupakan pelanduk, tetapi pelanduk selalu lupakan jerat. Wallahua’lam.

Fikir-fikir: Antara dua Pilihan

adudu - copyright Animonsta Studios

Anak-anak

Bayangkan sekiranya kamu sedang kebuluran di padang pasir, dan kamu jumpa dua buah bekas…(dan sebaldi air)

1) Satu bekas, didalamnya ada seguni beras, tapi ada juga di dalamnya beberapa ekor kutu beras yang sedang makan.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Beras
http://ms.wikipedia.org/wiki/Beras

2) Satu bekas, di dalamnya ada sedikit beras bercampur dengan seguni kutu beras yang sedang mengerumuni beras tersebut.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kutu_beras
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kutu_beras

Jadi bekas mana yang kamu pilih untuk memasak nasi, yang mana lebih senang untuk kamu bersihkan kutu beras tersebut ? kamu pilih bekas kedua kah? atau yang pertama. pilihan di tangan kamu.

Kalau kamu memilih untuk tidak pilih salah satu,  (Dengan izin Allah) kamu akan mati kebuluran.. dan hidup mesti diteruskan.

Bekas pertama: adakah kerana beberapa ekor kutu itu, kamu terus menolak beras yang putih tersebut. kerana kamu kata, sama saja bekas ni, kalau aku tinggal lama-lama nanti penuh jugak kutu beras. (tapi kamu nak makan nasi sekarang)

Bekas kedua: adakah kerana masih ada beras didalam bekas tersebut, dan kamu terkenang dulunya ada beras yang banyak, kamu masih pilih kerana masih boleh dibersihkan, walaupun segala pangkat kutu ada didalam dari mamak bendahara sehingga sekecil-kecil tok ketua kampung kutu tersebut pun ada.

Pengajarannya tidak perlu menunggu untuk mencari beras 100% sempurna, Beras mahal pun ada 5% kandungan hancur kan.

Tapi semua itu bergantung kepada pandangan dan latar belakang kamu, sebab ada orang tengok beras macam kutu, tengok kutu macam beras. Yang itu kita sama-samalah minta hidayah dari Allah.

 

اللهم أرنا الحق حقاً وارزقنا إتباعه وأرنا الباطل باطلاً وارزقنا اجتنابه
Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran sebagai kebenaran, dan mudahkan kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan sebagai kebatilan, dan mudahkan kami untuk menjauhinya.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mendaftar menjadi pengundi.

p/s:  “apa kena mengenaa nye – adudu”

adudu - copyright Animonsta Studios
adudu - copyright Animonsta Studios

Warkah untuk saudara-saudaraku yang merokok

bukan iklan rokok
bukan iklan rokok
bukan iklan rokok

Saudara Saudari yang dikasihi

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah atas segala nikmat yang diberikan, termasuk kesihatan dan oksigen percuma untuk kita.

Sholawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W, ahli keluarga, dan sahabat baginda radhiallahu anhum.

Amma Ba’du..

Mungkin paru-paru saudara sudah ada ketahanan menerima asap rokok, tapi paru-paru anak-anak saudara dan isteri(-isteri) saudara alah kepada asap rokok. Apalah dosa mereka, saudara zalimi mereka dengan merokok di dalam kereta, tingkap saudara saja yang terbuka.

Bukan sahaja paru-paru anak-anak dan Isteri saudara, paru-paru anak-anak dan Isteri saya pun alah kepada asap rokok yang saudara hisap tak kira di mana, di kedai makan , di dalam perkumpulan hari keluarga, tengah duduk dengar ceramah  dan sebagainya . Saya cukup “hangin” bila tengah makan, ada hamba Allah yang hisap rokok di sebelah. Apa dosa kami sehingga saudara sanggup meracuni nafas kami, sampai sesetengah kami kena migrain. Banyaknya lah dosa kepada makhluk lain kalau macam tu. Ingat dosa kepada sesama manusia hanya diampunkan Allah selepas manusia yang saudara zalimi tu maafkan. Tak payah lah saudara sibuk di warung bercakap tentang kezaliman pemimpin Negara kalau saudara sendiri pun sama tahap zalimnya.

Yang ini saya sendiri rasa banyak dosa saya sesama manusia. Moga Allah membuka hati manusia-manusia yang dizalimi secara sengaja atau tak sengaja untuk memaafkan saya. Tapi kita fokus kepada tajuk warkah ini sahaja sekarang.

Kalau saudara perokok tegar, saya anggap saudara orang kaya. Kalau mengeluh pasal gaji tak cukup, memang layak dapat penampar. Peruntukan rokok saudara tiap-tiap bulan tu paling kurang buat installment Proton Saga FLX tiap-tiap bulan pun cukup. Macam tu saudara dah jadi saudara syaitan, sebab Allah sendiri menyebut dalam Al-Quran membazir tu saudara syaitan

Saya takut jadi saudara syaitan, sebab syaitan tu tempat dia di neraka, saya pun kadang-kadang secara sedar atau tak membazir, membazir makanan, air, elektrik, masa dan lain-lain. Semoga Allah mengampunkan saya dan saudara dan memberi Hidayah kepada kita semua supaya mengelakkan amalan membazir.

Kalau saudara rasa ayat saya agak kurang ajar, tak kisah lah, sebab ayat kasar macam ni je yang kadang-kadang saudara faham. Sedangkan fatwa mufti & nasihat mursyidul am pun saudara abaikan inikan pula ayat-ayat lembut penuh berkias.

Saudara mungkin mengambil pandangan bahawa merokok itu makruh je. Untuk pengetahuan saudara hukum makruh rokok dikeluarkan semasa kajian bahaya rokok belum benar-benar diketahui. Apabila bahaya rokok sudah diketahui, jumhur ulama’ muta’akhirin mengeluarkan pandangan merokok itu adalah haram. Wallahua’lam.

Dan seperti yang selalu dibaca di artikel mengenai sumbangan syarikat rokok kepada Zionis, saya pun tak berapa pasti, tapi alangkah baiknya kita mengelakkan sesuatu yang syubhah daripada dengan secara tak sedar bekerjasama dengan askar Israel. Dahlah zalim kepada diri sendiri merokok, zalimi isteri & anak-anak sendiri dan orang lain, lepas tu support lagi kezaliman askar Israel. Zalim atas zalim atas zalim, bertingkat-tingkat zalim.

Tapi saya yakin saudara akan mampu berubah. Zaman dulu orang bertudung dianggap pelik, zaman sekarang artis pun dah banyak bertudung. Zaman dulu judi lumba kuda dianggap loteri kebajikan, zaman sekarang cuma tinggal sedikit tahi-tahi judi yang masih belum yakin dengan rezeki kurniaan Allah. Saya yakin insyaAllah 20 tahun akan datang, orang akan memandang perokok itu umpama mereka memandang penagih dadah sekarang.

Ramadhan.(warkah ini ditulis dalam bulan Ramadhan lepas)

Bulan ni memang sangat bagus untuk kita mula menjalankan perubahan. Saya mengenali beberapa orang yang sedar dan mampu untuk meninggalkan rokok. Mereka mampu, saya yakin saudara pun lebih mampu. Saya bukanlah lebih baik dari saudara, cuma ingin mencegah sedikit kemungkaran dengan perkataan, moga bila saudara baca dan diberi hidayah untuk berubah, menjadi saham kita ke Akhirat nanti. Boleh sama-sama menghapuskan dosa dan menambah pahala kita nanti insyaAllah.

Akhir sekali, maafkanlah atas segala kata yang mengguris hari naluri saudara. Memang niat saya untuk mengguris sedikit supaya saudara bertindak, hentikan kezaliman saudara.

Saya memohon ampun dengan Allah atas segala dosa-dosa saya dan dosa-dosa saudara. Semoga kita sama-sama dapat hidayah yang berterusan, dan terus berusaha membaiki diri.

Hentikan pencemaran

Sama-sama kita bersholawat ke atas Rasul S.A.W, dan mengucapkan Alhamdulillah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh