KLIBF 2010 @ PWTC

Selasa petang aku ke ampang, ber”tapa” selama dua hari. Pagi Jumaat ke Dayabumi menaiki taxi. Sementara tunggu kapal jam 1805 petang , aku pergi  “memancing buku” (meminjam istilah atiqah)  di KLIBF 2010, PWTC, Kali terakhir aku ke KLIBF adalah pada tahun 2006.

Sampai di rumah, anak-anak dan ibu mereka menanti di muka grill. Ini kali pertama tinggalkan mereka lebih sehari, mesti ibu mereka penat keseorangan melayan karenah anak-anak 3 hari ni.

Sanah Helwa ya Al-Faruq

Tiga tahun lepas… 20 Mac 2007 bersamaan 1 Rabi’ul Awwal, jam 7.57 pagi. Seorang bayi lahir  di saksikan abahnya, doktor dan misi.

Tiga hari sebelum kelahiran.. Ibu dan abah kepada bayi tersebut pergi ke Hari Keluarga anjuran majikan si abah bekerja  di Cherating.  Selepas itu terus ke Rumah Cikgu Mad Duan, Aki kepada bayi tersebut.

Dua hari sebelum kelahiran. Si Ibu mengadu sakit pinggang, oh mungkin kerana penat berjalan.

Sehari sebelum kelahiran, balik daripada tugasan harian,  si ibu dan si abah  mengalas perut dengan sedikit makanan, dan berkejar-kejar ke klinik untuk pemeriksaan mingguan, khuatir sekiranya lambat nanti terpaksa menunggu giliran. Cadangnya selepas balik nanti baru makan. Tapi hasrat tak kesampaian, si ibu ditahan.

Hari kelahiran …Sudah tertulis di Luh Mahfuz, tepat jam 7.47, setelah si ibu berhempas pulas dari malam ke pagi ditemani si abah, yang perut kedua-duanya sedang berbunyi, rengekan bayi kedengaran memecah keheningan pagi di al-farabi. Disambut dengan azan & iqamah, beserta tahnik . Allahu akbar!! La’ilahaillallah..khabar berita segera disampaikan oleh si abah kepada aki & tok di pekan, mbah lanang & wedok di hutan melintang, keluarga, dan rakan2..

7 hari selepas kelahiran..berbekalkan buku “nama-nama anak dalam Islam”, si ibu dan abah masih berkira, nama apa nak diberi ? akhirnya, si anak diberi nama Muhammad Umar Al Faruq bin Sidik Al Amini bersempena nama sahabat nabi yang lembut hatinya asalnya keras, dibasahi mukjizat Al-Quran.

3 tahun dah berlalu, dan si anak kini sudah menjadi abang kepada seorang adik yang lahir lahir setahun 6 bulan kemudian..

Kepada Al Faruq

Walau pun kau mungkin tak mampu menjadi seperti Saidina umar al-khattab , atau Abu Bakr As-Siddiq, atau Usman bin Affan atau Ali bin Abu Talib  RadiAllahu ‘anhum..
Cukuplah kau jadikan pekerti Rasulullah S.A.W  & Sahabat2 baginda itu
Sebagai panduan, contoh tauladan, petunjuk jalan untuk kau meniti mengharungi zaman fitnah ini.

Semoga kau jadi anak yang soleh yang akan mendoakan ibu dan abah,
bila kami tiada nanti..

Semoga dirimu sentiasa dekat dengan al-Quran, menjadi panduan hidupmu di dunia, menuju ke akhirat..

Semoga kau menjadi pembela Islam, kembali kepada tempatnya yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya..

Kepada Si Ibu,

Terima kasih kerana melahirkan dan mendidik 2 zuriat ini, semoga hari-hari mendatang kita bersama hadapi dengan penuh sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang), di dalam hidayah Allah, hingga ke syurga.