Warkah untuk saudara-saudaraku yang merokok

bukan iklan rokok
bukan iklan rokok
bukan iklan rokok

Saudara Saudari yang dikasihi

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah atas segala nikmat yang diberikan, termasuk kesihatan dan oksigen percuma untuk kita.

Sholawat dan Salam untuk Rasulullah S.A.W, ahli keluarga, dan sahabat baginda radhiallahu anhum.

Amma Ba’du..

Mungkin paru-paru saudara sudah ada ketahanan menerima asap rokok, tapi paru-paru anak-anak saudara dan isteri(-isteri) saudara alah kepada asap rokok. Apalah dosa mereka, saudara zalimi mereka dengan merokok di dalam kereta, tingkap saudara saja yang terbuka.

Bukan sahaja paru-paru anak-anak dan Isteri saudara, paru-paru anak-anak dan Isteri saya pun alah kepada asap rokok yang saudara hisap tak kira di mana, di kedai makan , di dalam perkumpulan hari keluarga, tengah duduk dengar ceramah  dan sebagainya . Saya cukup “hangin” bila tengah makan, ada hamba Allah yang hisap rokok di sebelah. Apa dosa kami sehingga saudara sanggup meracuni nafas kami, sampai sesetengah kami kena migrain. Banyaknya lah dosa kepada makhluk lain kalau macam tu. Ingat dosa kepada sesama manusia hanya diampunkan Allah selepas manusia yang saudara zalimi tu maafkan. Tak payah lah saudara sibuk di warung bercakap tentang kezaliman pemimpin Negara kalau saudara sendiri pun sama tahap zalimnya.

Yang ini saya sendiri rasa banyak dosa saya sesama manusia. Moga Allah membuka hati manusia-manusia yang dizalimi secara sengaja atau tak sengaja untuk memaafkan saya. Tapi kita fokus kepada tajuk warkah ini sahaja sekarang.

Kalau saudara perokok tegar, saya anggap saudara orang kaya. Kalau mengeluh pasal gaji tak cukup, memang layak dapat penampar. Peruntukan rokok saudara tiap-tiap bulan tu paling kurang buat installment Proton Saga FLX tiap-tiap bulan pun cukup. Macam tu saudara dah jadi saudara syaitan, sebab Allah sendiri menyebut dalam Al-Quran membazir tu saudara syaitan

Saya takut jadi saudara syaitan, sebab syaitan tu tempat dia di neraka, saya pun kadang-kadang secara sedar atau tak membazir, membazir makanan, air, elektrik, masa dan lain-lain. Semoga Allah mengampunkan saya dan saudara dan memberi Hidayah kepada kita semua supaya mengelakkan amalan membazir.

Kalau saudara rasa ayat saya agak kurang ajar, tak kisah lah, sebab ayat kasar macam ni je yang kadang-kadang saudara faham. Sedangkan fatwa mufti & nasihat mursyidul am pun saudara abaikan inikan pula ayat-ayat lembut penuh berkias.

Saudara mungkin mengambil pandangan bahawa merokok itu makruh je. Untuk pengetahuan saudara hukum makruh rokok dikeluarkan semasa kajian bahaya rokok belum benar-benar diketahui. Apabila bahaya rokok sudah diketahui, jumhur ulama’ muta’akhirin mengeluarkan pandangan merokok itu adalah haram. Wallahua’lam.

Dan seperti yang selalu dibaca di artikel mengenai sumbangan syarikat rokok kepada Zionis, saya pun tak berapa pasti, tapi alangkah baiknya kita mengelakkan sesuatu yang syubhah daripada dengan secara tak sedar bekerjasama dengan askar Israel. Dahlah zalim kepada diri sendiri merokok, zalimi isteri & anak-anak sendiri dan orang lain, lepas tu support lagi kezaliman askar Israel. Zalim atas zalim atas zalim, bertingkat-tingkat zalim.

Tapi saya yakin saudara akan mampu berubah. Zaman dulu orang bertudung dianggap pelik, zaman sekarang artis pun dah banyak bertudung. Zaman dulu judi lumba kuda dianggap loteri kebajikan, zaman sekarang cuma tinggal sedikit tahi-tahi judi yang masih belum yakin dengan rezeki kurniaan Allah. Saya yakin insyaAllah 20 tahun akan datang, orang akan memandang perokok itu umpama mereka memandang penagih dadah sekarang.

Ramadhan.(warkah ini ditulis dalam bulan Ramadhan lepas)

Bulan ni memang sangat bagus untuk kita mula menjalankan perubahan. Saya mengenali beberapa orang yang sedar dan mampu untuk meninggalkan rokok. Mereka mampu, saya yakin saudara pun lebih mampu. Saya bukanlah lebih baik dari saudara, cuma ingin mencegah sedikit kemungkaran dengan perkataan, moga bila saudara baca dan diberi hidayah untuk berubah, menjadi saham kita ke Akhirat nanti. Boleh sama-sama menghapuskan dosa dan menambah pahala kita nanti insyaAllah.

Akhir sekali, maafkanlah atas segala kata yang mengguris hari naluri saudara. Memang niat saya untuk mengguris sedikit supaya saudara bertindak, hentikan kezaliman saudara.

Saya memohon ampun dengan Allah atas segala dosa-dosa saya dan dosa-dosa saudara. Semoga kita sama-sama dapat hidayah yang berterusan, dan terus berusaha membaiki diri.

Hentikan pencemaran

Sama-sama kita bersholawat ke atas Rasul S.A.W, dan mengucapkan Alhamdulillah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh