Syawal 1433 hijrah

Alhamdulillah Ramadhan 1433 hijrah berlalu, semoga kita dikurniakan Taqwa.

Solawat & Salam untuk Rasulullah S.A.W, keluarga, dan para sahabat Radiallahu Anhum.

Perjalanan pulang ke kampung Idul fitri 1433 tahun ini merupakan perjalanan yang agak panjang berbanding tahun-tahun yang lepas.

2 hari sebelum berangkat, semasa menghantar Umar dan Muadz ke sekolah Muadz bertanya “Abah, Allah suka kan orang yang sabar”, saya jawab “ye”, Muadz dengan bangganya berkata “Ibu dengan along tu tak sabar nak balik rumah tok”..hmm, rupanya Muadz dengar dialog ibu dan umar semasa memujuk mereka ke sekolah pagi tu.

[beberapa minggu sebelum itu, saya mengambil jalan pintas (jalan dekat mengikut istilah Umar), dan Umar memulakan dialog “sabar” itu, mengikut pemahaman Umar mengambil jalan cepat samalah dengan tak sabar, Allah suka orang yang sabar) dialog itulah yang digunakan oleh Muadz kemudian ]

Hari khamis 16 Ogos, kakak ipar saya Kak Lyn mengambil kami di Putatan dan menghantar ke terminal 2 Lapangan Terbang Antara bangsa Kota Kinabalu. Semoga Allah merahmati Kak Lyn & Kang Ajib sekeluarga.

Tiba di Terminal 2, saya “menjatuhkan bag” (bag drop?) di kaunter, cadangan asalnya untuk memasukkan sekali kotak berisi ikan bilis, udang kering amplang,  dan rakan-rakannya. Tapi cadangan terhalang kerana kotak tersebut lebih dua Kg dari jumlah bagasi yang dibeli. Untuk membayar RM50 tambahan untuk lebihan Kg tersebut saya rasa macam tak berbaloi, jadi jinjing sahaja.

Waktu maghrib hampir tiba, lalu kami mencari tempat untuk duduk. Sebaik sahaja waktu maghrib masuk, dan diumumkan melalu pembesar suara. Kami berbuka puasa dengan nasi dan air ribena yang di “tapau” dari rumah. Berhampiran dengan tempat kami duduk, kelihatan beberapa orang anak muda duduk bersila berbuka dengan makanan segera yang dibeli di kedai berhampiran. Alhamdulillah, rezeki Allah boleh dinikmati di mana-mana, atas alasan apa lagi sekiranya kita tidak bersyukur?

Seusai solat jamak maghrib & isyak, kami terus beredar ke balai pelepasan. Kakak imegresen agak keliru untuk mengecam yang mana satu umar dan mana satu muadz, macam kembar, katanya.

Ketika itu Isteri saya sedang mengandung 27 minggu, lalu petugas di kaunter memberikan surat idemnity untuk ditandatangani.

Sebaik duduk di tempat duduk di belakang pesawat, kedengaran suara budak bertanya, “ibu, bila makanan nak sampai?” hmm.. tadi baru sahaja makan dah lapar semula?

Tempat duduk di belakang kami kosong, jadi dapatlah menyandarkan kerusi tanpa mengganggu penumpang di belakang.

Tiba di LCCT, Encik yang menyewakan kereta telah sedia menanti, kunci bertukar tangan dan kami meneruskan perjalanan ke Pekan.

Saya mengimbas Twitter lembaga lebuh raya malaysia, ada kicauan menunjukkan kenderaan bergerak perlahan di beberapa tempat.

Saya berhenti mengisi minyak di stesen minyak berhampiran, tetapi stesen tersebut kehabisan tambahnilai Touch n Go. Di stesen minyak seterusnya barulah nilai prabayar dapat diisi semula. Musim perayaan, penggunaan TNG diharap dapat menjimatkan beberapa minit masa di lebuh raya.

Perjalanan agak lancar sehingga lah tiba di kawasan Genting Sempah. Kereta bergerak  perlahan sehingga ke plaza tol Karak. Jika sebelum ini kami selalu melihat kesesakan lalu lintas di lorong berlawanan, kali ini kami pula yang merasainya. Benarlah hidup ini umpama roda, bila di atas jangan lupa yang di bawah.

Perjalanan kembali lancar selepas itu. Saya berhenti di beberapa hentian untuk meredakan rasa mengantuk, anak-anak tidur sepanjang pernalanan. Akhirnya jam 5.15 pagi, kami selamat sampai ke Pekan. Jika di KK, jam 5.15 orang sudah selesai solat subuh, alhamdulillah kami sempat bersahur dengan lauk daging opor masakan abah pagi itu. Sebelum masuk waktu Subuh.

Selepas hilang mengantuk, jam 11 pagi, kami ke kuantan untuk mencari beberapa barang. Solat jumaat di Masjid kuantan, saya mengimbau suasana semasa bertugas di Kuantan tahun lepas. Tidak banyak berubah. Saya melintasi padang MPK, terdapat tong-tong sampah yang disediakan untuk orang ramai “rehlah iftar” di situ. Papan tanda besar meminta orang ramai menjaga kebersihan. Baguslah kebersihan dijaga.

Singgah di bazar ramadhan Mentiga. Dapat juga membeli murtabak yang lama diidamkan oleh si ibu mengandung. Hari itu tak ramai orang yang berniaga, mungkin ramai “peniaga segera” yang sudah berhenti berniaga. Pakcik jual murtabak tersebut jugalah yang setia menjual, rasa murtabak beliau juga sangat konsisten kelazatannya.

Malam Sabtu  tarawikh terakhir ramadhan 1433. semoga Allah menerima segala amalan kita. Hari Sabtu saya sempat menganyam 20 biji ketupat untuk menambah 30 biji yang  dianyam oleh mak mertua saya. Adik ipar saya membakar lemang, manakala yang lain-lain dengan tugasan masing-masing.  Tiba petang, hujan turun dengan lebatnya, berbuka terakhir Ramadhan 1433.

Malam itu. seperti dijangka penyimpan mohor besar raja-raja mengumumkan tarikh 1 syawal jatuh pada hari ahad, keesokan harinya. Di masjid temai, didahului tok imam kasim, Takbir idulfitri berkumandang menandakan kemenangan umat islam menjalani ibadah puasa..Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar..

Pagi idulfitri sungguh hening, tiada hujan. Selepas bersarapan, kami beramai-ramai ke Masjid Temai untuk menunaikan solat sunat idulfitri. Selepas solat, imam membacakan khutbah yang mengajak umat islam untuk terus beribadah selepas Ramadhan berlalu, dan juga menjaga adab ketika menyambut syawal. Selesai khutbah, tahlil ringkas dibaca.

Di rumah abah mertua, kami bermaaf-maafan dan kemudian sesi fotografi dijayakan oleh beberapa jurukamera amatur. Kami bertolak ke rumah tok wa yang berada tidak jauh dari situ. Sememangnya menziarahi pusara tidak perlu menunggu syawal, tapi kami mengambil kesempatan untuk menziarahi kerana masa inilah semua orang dapat pergi bersama. Lagipun, seram sejuk juga bila nak pergi sorang-sorang pada hari lain, entah-entah ada binatang buas. Petangnya kami menziarahi makcik.

2 syawal kami bersiap untuk bergerak ke Hutan Melintang. Selepas zohor kami bertolak melalui LPT, lebuhraya karak, Plus, latar dan jalan biasa. Cuaca agak redup dan perjalanan tidak terasa kejauhannya. Saya berhenti di stesen minyak berhampiran Sg Haji Dorani Sungai besar, maghrib & Isyak di situ. kemudian berhenti makan di gerai makan di Sabak Bernam. Tiba di Sungai Manila dalam jam 10.30, beberapa orang abang dan kakak saya sudah sampai, Emak & Bapak sudah terlelap, esok sahajalah baru berjumpa insya-Allah.

3 syawal, selepas subuh, awal pagi, saya dan abang saya Kamil pergi ke sabak-bernam & sungai besar untuk mencari sarapan, kedai-kedai banyak yang belum dibuka. Ada abang jual nasi lemak tepi jalan, kemudian tunggu roti canai di Restoran Seri Kassim hampir sejam, memang ramai betul orang. Sampai rumah orang dah kenyang makan mee goreng yang dimasak oleh kakak-kakak ipar.

Tengah hari Lek Samuri (Adik Emak) dari Sungai besar datang, menurutnya selepas itu nak ke sungai tengi. Lalu kami ikut senior-senior  menziarahi Pak de Munjiat di Felda Sungai Tengi, Lek Samuri di sungai besar, Balu arwah Pak Jahro dan Balu arwah Pak de di di tebuk pulai, Sabak Bernam, Menu kegemaran kanak-kanak hari tu ialah keropok tayar..entah habis berapa balang.

Akhirnya kami berkumpul  di rumah Kak Shimah di Kg Banting. Sambal Taun idaman ibu mengandung juga disediakan :), terima kasih kakak. 2 3 kali saya tambah nasi, “sambal taun – semakin pedas semakin nak lagi”

4 Syawal kami menziariahi rumah Kak Ipah di Lekir, Setiawan dan Kak Lalah di Teluk Intan. Setiap rumah, anak-anak saudara dan anak-anak saya buat macam rumah sendiri. Merajuk, main, makan, main, nangis, gaduh, main semula. Seronok betul rasanya jadi budak-budak.

5 Syawal, kami adik beradik sempat menziarahi rumah Mbok Kom, Pak Bakri (Sempat mintak mempelam) dan Pak Kam (ilham) di Sungai Manila, banyak lagi rumah jiran-jiran yang tak sempat di kunjungi. Selepas itu saya dan keluarga ke Sungai Besar untuk mencari pakaian bayi. Sibuk Muadz tanya dah beli ke bantal baby, selimut baby, sabun baby, botol susu baby. Kita nak cari baju je sayang, yang lain kemudian nanti insyaAllah.

6 syawal, Hari Jumaat kami mengiringi keberangkatan pulang abang-abang saya ke tempat tinggal masing-masing. Ada yang ke Johor dan ke Lembah Kelang. Petang itu, bapak dan emak ikut kami keluar ke Sabak Bernam . Ada pasar malam, tapi belum banyak peniaga di situ.

7 Syawal, selepas sarapan kami mohon permisi mak & bapak untuk pulang ke Sabah. Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada Mak & Bapak, dan semoga kedua-duanya sentiasa didalam rahmat Allah. Jam 11 kami bertolak, mengisi minyak di Sungai Besar. Jam 1 tiba di Shah Alam, rumah Kang Ram, solat zuhr & asar, makan nasi di situ. Masa di Sungai Manila tak sempat jumpa. Kemudian kami singgah di rumah (kang) Kamil di sepang, pusing balik ke rumah Kang Anip di bangi, kemudian bergegas ke LCCT. Tiba di LCCT jam 7.15, tunggu sekejap Encik tuan punya kereta, pulangkan semula kunci dan odometer kini menunjukkan 11++ ribu kilometer berbanding minggu lepas 9++ ribu KM. Hampir 2,000 KM memandu!. Jam 7.30 dan saya bergegas ke kaunter “jatuhkan beg”. Beratn beg 29.6Kg. nyaris-nyaris sampai 30Kg, hehe, bijak isteri saya mengagak berat beg. Kami terus ke balai perlepasan, maghrib & isyak di situ dan ke pintu 11 untuk berlepas menaiki belon jam 8.20 malam. Alhamdulillah, kerusi belakang kami kosong juga, jadi anak-anak boleh tidur baring. Jam 11.30 kami sampai ke Taman Pasir Putih dihantar pakcik teksi.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar

Begitulah kisah syawal kami. Sekadar catatan untuk kenangan anak-anak bila dewasa nanti.

Syawal yang tiba, iblis syaitan tidak lagi dibelenggu. Hakikatnya syaitan tidak pernah berehat dari menyesatkan manusia, manusia sahaja yang selalu lupa dengan tipu daya syaitan dan terpedaya. Sama-sama kita memohon perlindungan denganNya.

Ingatlah jerat tak pernah melupakan pelanduk, tetapi pelanduk selalu lupakan jerat. Wallahua’lam.